16 September, 2020

Sedar atau tidak, tahu atau tidak, realitinya memang ada amalan sembahyang yang tidak diredhai Allah, atau dengan kata lain ditolak. Ditolaknya bukan kerana tidak sah tetapi tidak mencapai tujuannya.

Puncanya, kerana kebanyakan orang sudah kehilangan kefahaman asas tentang Islam.

Islam dilihat sebagai agama yang menyuruh mendirikan sembahyang, mengeluarkan zakat, berpuasa dan menunaikan haji sahaja, tidak lebih dari itu. Akibatnya, tanggapan terhadap ibadah-ibadah yang diperintahkan tidak menjadi petunjuk jalan hidup.

Tidak terkecuali ibadah sembahyang.

Atas tanggapan yang salah menyebabkan ibadah ini ditunaikan sebagai tanda keimanan semata-mata. Akibatnya sembahyangnya tidak diredhai Allah swt, sembahyangnya ditolak. Antara alasannya yang disebut oleh hadis ialah

·        Tidak memberi faedah buat orang lain,

·        Tidak menegakkan Islam,

·        Tidak membawa rahmat.

 Tidak memberi faedah buat orang lain

Hal ini disebut oleh hadis yang meriwayatkan dialog

Nabi Musa dengan Allah swt (Klik)

 

Nabi Musa as: Wahai Allah, aku telah melaksanakan ibadah, lalu manakah ibadahku yang membuatkan Engkau redha?

Allah swt: Solat? Solat itu untuk dirimu sendiri kerana dengan mengerjakan solat engkau terpelihara daripada keji dan mungkar. Zikir? Zikirmu itu hanya untuk dirimu sendiri, membuatkan hatimu menjadi tenang. Puasa? Puasamu itu untuk dirimu sendiri, melatih dirimu untuk memerangi hawa nafsumu sendiri.

Nabi Musa as: Lalu ibadahku yang manakah yang membuatkan Engkau redha ya Allah?

Allah swt: Sedekah, infaq, zakat dan perbuatan baikmu. Itulah yang membuatkan Aku redha kerana ketika engkau membahagiakan orang yang sedang susah Aku hadir di sampingnya. Dan Aku akan menggantikannya dengan ganjaran 700 kali ganda (al-Baqarah 261-262).

 Riwayat ini menggambarkan sesuatu ibadah yang kita lakukan untuk faedah diri sendiri sahaja ditolak, Allah swt belum redha. Hadis ini mengambil sembahyang, zikir dan puasa sebagai contohnya. Ditolaknya dengan alasan untuk faedah diri sendiri, Allah menyebutnya Solat itu untuk dirimu sendiri.

Alasan untuk faedah diri sendiri ini menggambarkan alasan yang untuk faedah buat orang lain. Sembahyang yang bagaimana dikatakan untuk faedah diri sendiri itu, dan yang bagaimana pula yang maksudnya untuk faedah buat orang lain.

Tidak menegakkan Islam

Sebuah hadis menyebut,

Segala amal akan datang pada hari qiamat (untuk memberi syafaat kepada yang mengerjakannya), antaranya sembahyang datang lalu berkata, ‘Ya Tuhanku akulah sembahyang’; Allah Taala berfirman (kepadanya) ‘Tujuan engkau itu baik, (tetapi engkau sahaja belum cukup)’; dan (selepas itu) datang pula sedekah, puasa, dan amal-amal yang lain, semuanya itu Allah berfirman (kepada tiap-tiap satunya): Tujuan engkau itu baik, tetapi engkau sahaja belum cukup’; kemudian datang pula Islam lalu berkata, ‘Ya Tuhanku, Engkaulah Tuhan yang bernama Assalam, dan akulah Islam’; maka Allah Taala berfirman (kepadanya), ‘Tujuan engkau itu baik, pada hari ini dengan engkaulah Aku menerima dan dengan engkaulah jua Aku memberi balasan’. (Mustika Hadis Jilid I, 42)

Sembahyang, zakat, puasa dan haji adalah Rukun Islam. Allah swt mewajibkan kita menunaikannya, namun setelah kita tunaikan masih tidak dapat diterimanya dengan alasan sembahyang sahaja belum cukup, demikian juga sedekah, puasa, dan amal-amal yang lain. Hanya setelah datang Islam, Allah swt menerimanya dan akan mempertimbangkan balasannya. Apakah yang dimaksudkan dengan Islam itu.

Belum cukup menggambarkan ada lagi yang harus dilakukan untuk mencukupkannya. Hadis berkenaan menggambarkan itulah Islam. Apakah dia Islam mengikut hadis ini?

 Tidak membawa rahmat

Riwayat oleh Imam al-Hakim katanya daripada Jabir bin Abdullah ra, menyebut bahawa suatu hari Nabi Muhammad saw bertemu dengan para sahabat dan bersabda,

 Malaikat Jibril baru sahaja datang kepadaku dan berkata, Wahai Muhammad, demi Tuhan yang mengutuskanmu sebagai nabi yang benar, sesungguhnya ada seorang hamba dalam kalangan hamba-hamba Allah yang beribadah selama 500 tahun di atas sebuah bukit yang terletak di tengah-tengah lautan. Lebar dan panjangnya adalah 30 hasta kali 30 hasta dan dikelilingi oleh laut seluas 4000 farsakh dari tiap penjuru. Di situ, Allah swt mengeluarkan baginya mata air yang jernih selebar satu jari yang memancarkan air yang tawar lalu ia bertakung di bawah bukit, juga pohon delima yang mengeluarkan buahnya pada setiap malam untuk dimakan pada hari tersebut. Apabila hari sudah siang, dia turun untuk mengambil wuduk dan memetik delima, lalu memakannya. Kemudian dia berdiri menunaikan sembahyang dan meminta kepada Tuhannya supaya dia dimatikan dalam keadaan sujud dan bumi atau apa sahaja tidak dapat menghancurkannya sehinggalah dia dibangkitkan dalam keadaan sujud. Lalu Allah telah melaksanakan permintaannya.

Kami pasti akan melaluinya apabila kami turun dan naik ke langit dan kami juga mendapati di sisi ilmu Allah bahawa dia akan dibangkitkan pada hari kiamat lalu dihadapkan di hadapan Allah Azza Wajalla. Allah berfirman kepadanya (dengan memerintahkan kepada para malaikat), ‘Masukkanlah hamba-Ku ini ke dalam syurga dengan rahmat-Ku’. Orang itu berkata, ‘Wahai Tuhanku, bahkan masukkanlah aku ke dalamnya dengan amalanku’. Allah berfirman, ‘Masukkanlah hamba-Ku ini ke dalam syurga dengan rahmat-Ku’. Orang itu berkata, ‘Wahai Tuhanku, bahkan masukkanlah aku ke dalamnya dengan amalanku’. Allah berfirman lagi, ‘Masukkanlah hamba-Ku ini ke dalam syurga dengan rahmat-Ku’. Orang itu berkata, ‘Wahai Tuhanku, bahkan masukkanlah aku ke dalamnya dengan amalanku’.

Lalu Allah berfirman kepada para malaikat, ‘Hitunglah hamba-Ku ini pada nikmat-Ku yang telah dikurniakan kepadanya dengan amalannya. Maka, didapati nikmat penglihatannya telah merangkumi ibadah yang dilakukannya selama 500 tahun, sedangkan nikmat anggota tubuh badan yang lain masih berbaki (belum dihitung). Lalu Allah berfirman, ‘Masukkan hamba-Ku ke dalam neraka’. Ketika ditarik menuju ke neraka, dia berkata, ‘Wahai Tuhanku, masukkan-lah aku ke dalam syurga dengan rahmat-Mu’. Maka Allah berfirman (kepada para malaikat), ‘Kembalikanlah ia’. Lalu dia dihadapkan di hadapan Allah dan Allah bertanya, ‘Wahai hamba-Ku, siapa yang menjadikanmu ketika dirimu masih tidak ada?’ Dia menjawab, ‘Engkau wahai Tuhan’. Allah bertanya, ‘Adakah ia disebabkan amalanmu atau rahmat-Ku?’ Dia menjawab, ‘Bahkan dengan rahmat-Mu.’ Allah bertanya, ‘Siapakah yang memberi kekuatan kepadamu untuk beribadah selama 500 tahun?’ Dia menjawab, ‘Engkau wahai Tuhanku’. Allah bertanya lagi, ‘Siapakah yang menempatkan engkau di atas bukit di tengah-tengah laut, mengeluarkan air segar yang tawar daripada sumber air laut yang masin, menumbuhkan sebiji buah delima sedangkan sesungguhnya ia hanya akan berbuah sekali sahaja dalam satu tahun, dan engkau mohon kepada-Ku untuk mati dalam keadaan sujud lalu Aku melakukannya?’ Jawabnya, ‘Engkau wahai Tuhanku’. Firman Allah semua itu adalah dengan rahmat-Ku’. (Ke Arah Haji Yang Mabrur, 23-24)

 Riwayat ini adalah tentang Malaikat Jibril menceritakan kepada Nabi saw kesudahan hamba Allah itu di Akhirat kelak.

Malaikat Jibril menjangkakan hamba Allah itu akan dimasukkan ke syurga melihat kepada amalan yang dilakukannya selama 500 tahun itu. Namun hakikatnya Allah swt memerintahkan supaya dia dimasukkkan ke syurga kerana rahmat-Nya, tetapi hamba Allah itu meminta agar dimasukkan ke syurga kerana amalannya, kerana menyangka bahawa amalannya selama 500 tahun itu melayakkannya masuk syurga tetapi ternyata sangkaan itu tidak betul.

Setelah tiga kali memohon perkara yang sama, Allah swt menarik balik arahan tersebut dan meminta para malaikat memasukkannya ke neraka.

Hal ini kerana setelah dibuat perhitungan menunjukkan nikmat mata yang dianugerahkan Allah kepadanya sahaja terlalu banyak sedangkan dia belum membuat walau satu rahmat sekalipun. Namun akhirnya dia mengaku dengan kesilapan tersebut lalu minta dimasukkan ke syurga kerana rahmat Allah.

Ketiga-tiga hadis di atas ini hanyalah sebahagian daripadanya yang menggambarkan ada sembahyang yang tidak diredhai. Namun apabila diteliti sebab-sebabnya adalah berkait dengan soal pokok Islam, iaitu:

ü Ideologi Islam,

ü Manusia sebagai khalifah

 Kefahaman yang jitu terhadap Ideologi Islam dan konsep kekhalifahan itu amat diperlukan agar pada masa-masa mendatang kita tidak terperangkap dengan pandangan-pandangan atau konsep yang meragukan. Misalnya, kita biasa mendengar kenyataan-kenyataan membaca al-Quran (tanpa mentadabur) dapat pahala, sembahyang yang didirikan pada waktu-waktunya menjamin masuk syurga, dan sebagainya.

Kefahaman terhadap dua faktor ini amat diperlukan bagi mengelakkan ibadah-ibadah kita tidak diredhai Allah, tidak terkecuali ialah ibadah sembahyang.

Jadi, janganlah bangga dengan sembahyang yang banyak,

kerana semua itu belum tentu membuat Allah redha.

No comments:

Post a Comment