Konsep Sembahyang

      Kita biasa mendengar kenyataan-kenyataan yang menyebut sembahyang mencegah perbuatan keji dan mungkar, sembahyang membawa ke syurga, seorang yang menjaga waktu sembahyangnya akan masuk syurga, sembahyang menghapus dosa yang dilakukan antara dua waktu kecuali dosa-dosa besar, dan sebagainya.

Pada masa yang sama kita biasa mendengar pula tentang sembahyang yang ditolak. Antara sebabnya ialah seperti yang disebut oleh hadis, sembahyangnya tidak melepasi telinganya, antara lain lagi disebut seorang lelaki yang sembahyang sendirian tidak membaca apa-apa. Apakah yang dimaksudkan oleh hadis ini. Tidak melepasi telinganya bermaksud tidak diangkat ke langit oleh malaikat, suatu analogi yang membayangkan sembahyangnya ditolak. Mengapa?

 Hampir semua orang menunaikan sembahyang mengikut takrif yang diajarkan oleh ilmu fiqh. Mengikut takrif, sembahyang ialah perkataan-perkataan dan perbuatan-perbuatan yang dimulai dengan takbiratul-ihram dan disudahi dengan salam. Di dalamnya ada 13 perkara yang mesti disempurnakan bagi mendapat sembahyang yang sah. Perkara-perkara itu ialah rukun sembahyang. Inilah takrif sembahyang.

Namun setelah ditunaikan mengikut takrif itu tadi ada yang ditolak. Ada hadis yang menyebut, ditolaknya kerana dikatakan tidak membaca apa-apa. Apakah ada orang yang sembahyang tidak membaca apa-apa? Ini adalah suatu analogi, yang maksudnya ialah tidak mengetahui makna bacaan-bacaan dalam sembahyang.

Alasan ini menggambarkan kriteria bagi ibadah sembahyang yang diterima Allah swt iaitu mengetahui makna bacaan-bacaan di dalamnya. Tetapi mengapa kedudukan ini tidak dimasukkan ke dalam takrif tadi! Saya pulangkan kepada pembaca mencari jawapannya.

Kelihatannya konsep ibadah sembahyang kita harus mengikuti kriteria-kriteria tertentu. Mengetahui makna bacaan-bacaan itu tadi adalah satu daripadanya. Apakah ada kriteria-kriteria yang lain lagi?

Ada sebuah hadis yang meriwayatkan dialog antara Nabi Musa dengan Allah swt.

Nabi Musa as: Wahai Allah, aku telah melaksanakan ibadah, lalu manakah ibadahku yang membuatkan Engkau redha?

Allah swt: Solat? Solat itu untuk dirimu sendiri kerana dengan mengerjakan solat engkau terpelihara daripada keji dan mungkar. Zikir? Zikirmu itu hanya untuk dirimu sendiri, membuatkan hatimu menjadi tenang. Puasa? Puasamu itu untuk dirimu sendiri, melatih dirimu untuk memerangi hawa nafsumu sendiri.

Nabi Musa as: Lalu ibadahku yang manakah yang membuatkan Engkau redha ya Allah?

Allah swt: Sedekah, infaq, zakat dan perbuatan baikmu. Itulah yang membuatkan Aku redha kerana ketika engkau membahagiakan orang yang sedang susah Aku hadir di sampingnya. Dan Aku akan menggantikannya dengan ganjaran 700 kali ganda (al-Baqarah 261-262).

     Riwayat ini menggambarkan sembahyang yang untuk faedah diri sendiri adalah ditolak, Allah swt belum redha. Jadi kelihatannya ini adalah satu lagi kriteria bagi amalan sembahyang yang diterima Allah swt. Kriterianya ialah sembahyang itu mesti ada tujuannya, dan tujuan yang dikehendaki ialah yang membawa faedah buat orang lain.

 Tidak dinafikan pasti ramai yang terkasima dengan pendedahan ini, terutama sekali mereka yang selama ini mendirikan sembahyang mengikut takrif sahaja. Pastinya kedudukan ini menimbulkan banyak persoalan. Misalnya, bagaimana cara hendak menunaikan sembahyang yang boleh membawa faedah buat orang lain.

Kalau untuk faedah diri sendiri sahaja tidaklah menjadi masalah. Misalnya sembahyang untuk mencari pahala, sembahyang untuk mendekatkan diri kepada Allah swt.

Nah, ini menggambarkan bukan senang untuk mendapat syurga dari sembahyang, bukan senang untuk menghapus dosa dari sembahyang, dan bukan senang untuk mencegah perbuatan keji dan mungkar dari sembahyang. Justeru tidak hairan jika dikatakan ramai orang yang sembahyangnya ditolak.

Jadi kelihatannya konsep sembahyang kita harus disemak bagi membetulkan kedudukannya. Konsep sembahyang yang betul ialah yang membawa faedah buat orang lain, bukan sekadar mengikut takrif sahaja.

Konsep sembahyang ini memerlukan kita mengetahui dan memahami makna bacaan-bacaan dan perbuatan-perbuatan dalam ibadah sembahyang. Misalnya, apakah makna  yang terjemahannya Segala puji tertentu bagi Allah, Tuhan yang Memelihara dan Mentadbirkan sekalian alam. Makna di sini maksudnya ialah kefahaman, bukan sekadar mengetahuii terjemahannya sahaja. Misalnya, apakah yang anda faham maksud Mentadbirkan sekalian alam. Kefahaman inilah yang boleh membawa faedah buat orang lainIni sebabnya perlu ada sembahyang yang batin.

 Sembahyang yang batin: Sembahyang yang didirikan mengikut takrif dikatakan mendirikan sembahyang yang zahir, atau disebut mendirikan zat sembahyang. Disebut sembahyang yang zahir kerana pada zahirnya itulah yang dilakukannya, berdasarkan 13 rukunnya.

Sembahyang yang batin mengikut kitab Sabil al-Muhtadin ialah sembahyang yang disertakan dengan amal yang batin.

Kita ambil satu contoh. Dalam sembahyang kita membaca A002; membunyikan ayat ini adalah amal yang zahir. Amal yang batin ialah amalan memahami pengertiannya.

Ayat itu ertinya ialah Segala puji tertentu bagi Allah, Tuhan yang Memelihara dan Mentadbirkan sekalian alam. Ini terjemahannya. Pengertiannya ialah tadaburnya iaitu kefahaman terhadap erti ini.

Misalnya, kita ambil frasakata Mentadbir sekalian alam itu. Ianya bermaksud bahawa Allah yang mencipta alam ini, mencakupi juga maksudnya ialah Allah yang mentadbir alam ini. Amal yang batin ialah memahami bagaimana caranya Allah mentadbir alam ini? Ini adalah amalan yang berlaku di otak.

Di otak kita membayangkan misalnya matahari yang Allah cipta, memancarkan cahayanya ke bumi, digunakan oleh pokok dan tumbuhan menjalankan proses fotosintisis, yang hasilnya ialah daun, buah, ubi, herba ubatan dan sebagainya. Kesemua ini untuk kehidupan manusia dan sekalian makhluk: untuk makanan, ubat-ubatan dan berbagai lagi. Allah mengaturnya demikian, dengan kata lain inilah caranya Allah mentadbir alam ini. Amalan membayangkan kejadian ini adalah amal yang batin.

Jadi, sembahyang yang disertai dengan amal yang batin seperti ini dipanggil sembahyang yang batin.

No comments:

Post a Comment