Kefahaman Asas Islam

Pada zaman kedatangan Islam, terdapat begitu banyaknya kepercayaan, konsep, mitos, falsafah tahyul, tradisi dan adat,  yang ciri-cirinya kepalsuan bercampur aduk dengan kebenaran, yang salah dengan yang benar, yang karut marut dengan agama, dan mitos dengan falsafah. Ini menyebabkan hati nurani manusia bercelaru, berspekulasi, yang tidak ada tanda-tanda akan reda.

Hari ini kesan dan tempiasnya masih ketara. Lihat sahaja fenomena kehidupan manusia hari ini: kehidupan manusia dipenuhi kejelekan-kejelekan seperti terjadinya rasuah dan kelam-kabut, kezaliman dan penindasan, kesusahan dan kesengsaraan, dan mementingkan diri sendiri. Kehidupan yang boleh disebutkan sebagai yang bukan untuk manusia mahupun binatang.

Keadaan-keadaan ini menyebabkan kehidupan manusia tidak mempunyai identiti yang jelas, tidak tentu hala kerana telah menyimpang dari jalan yang sepatutnya.

Manusia telah tidak dapat lagi mengenali Tuhan-nya dan sifat-sifat-Nya, tidak ada lagi hubungan manusia dengan manusia lain dan alam sejagatnya, tidak peduli lagi dengan tujuan dia dijadikan, lebih-lebih lagi hubungan manusia-Tuhan.

Kefahaman paling asas tentang Islam adalah mengenali ideologinya, iaitu Ideologi Islam.

Ideologi Islam menghendaki kita menerima idea bahawa Islam tidak memisahkan kehidupan kerohanian dengan kehidupan duniawi, dan menyedari bahawa tujuan Allah swt menjadikan manusia adalah sebagai khalifah bumi. Islam menghendaki manusia memahami dua idea ini sewajarnya, mencakupi konsep, implikasi dan impaknya. Kedua-dua idea ini adalah kunci pembinaan tanggapan terhadap tujuan ibadah-ibadah, sama ada ibadah khusus atau umum.

Fahamilah bahawa ibadah-ibadah itu adalah kerohanian, yang menjadi asas kehidupan duniawi. Justeru tidaklah boleh sama sekali memisahkan antara keduanya ini dengan mengatakan bahawa kerohanian adalah kerohanian, duniawi adalah duniawi, tiada kaitan antara keduanya. Jadi, tidaklah boleh seseorang itu menunaikan yang kerohanian semata-mata demi pahala, misalnya, atau yang sebaliknya iaitu menjalani kehidupan duniawi yang tidak diasaskan kepada kerohanian.

Sebagai khalifah, manusia harus menyedari bahawa peranannya adalah untuk membina iklim kesejahteraan buat manusia keseluruhannya, bukan untuk dirinya sendiri. Namun kesejahteraan yang hendak dibina adalah mencakupi pula kesejahteraan sekalian makhluk kerana kesejahteraan manusia bergantung kepada kesejahteraan sekalian makhluk sekitaran, sama ada yang hidup maupun yang tidak hidup.

No comments:

Post a Comment